Abu Laits
as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah
berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada
menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima
wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,
"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke
barat. Engkau dikehendaki berbuat:-
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun
keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya
ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi,
tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak
dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus
berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga
menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu
meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia
teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas
itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku
telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya
tanpa disedari oleh Nabi itu,
mangkuk emas itu
keluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang
berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya
merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat
lapar dan aku mengejar burung itu
sejak pagi tadi.
Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan
pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan.
Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat
keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan
diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang
dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan
perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat
busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu
bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya
dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya
ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu
oleh Allah S.W.T. bahawa,
1. Engkau makan itu
ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika
bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu
pun akan menjadi lebih manis
daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi),
walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah
seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau
sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah
(menceritakan hal seseorang).
Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat
ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita
semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak
dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat
seseorang itu suka mengata hal orang lain.
Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti
ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah
S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar
bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan
merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal
orang walaupun ia benar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar